PENGISYTIHARAN tarikh 1 Syawal untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari ini selepas mengambil kira anak bulan telah kelihatan di salah satu daripada 29 lokasi cerapan rasmi seluruh negara.
Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir memaklumkan, anak bulan Syawal telah kelihatan sewaktu cerapan walaupun di luar kriteria Imkanurrukyah (kaedah rukyah serta hisab) yang diguna pakai negara.
Sehubungan itu, kata beliau, awal Syawal bagi tahun 1443 Hijrah telah ditetapkan pada hari ini sebagai mana pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam tadi.
Menurut Anhar, syarak telah menetapkan kaedah yang jelas dalam penentuan awal Ramadan dan Syawal dengan kaedah utama dianjurkan sebagai mana al-Quran serta hadis adalah berdasarkan rukyah.
Beliau memaklumkan, hanya jika anak bulan tidak kelihatan disebabkan mendung atau berawan, maka terdapat khilaf ulama menerima hisab ahli-ahli falak menurut dalil yang pelbagai.
“Pada tanggal 29 Ramadan 1443 Hijrah rombongan jawatankuasa rukyah hilal (anak bulan) Syawal telah melakukan cerapan di 29 buah tempat cerapan seluruh Malaysia.
“Hilal telah disahkan kelihatan di salah satu lokasi cerapan rasmi.
“Apabila telah jelas kelihatan hilal walaupun di luar kriteria Imkanurrukyah oleh saksi yang adil maka pemerintah bertanggungjawab menyiasat dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak kesaksian tersebut.
Baca artikel berkaitan: Esok hari raya, bukan Selasa
“Apabila bertembung antara rukyah dan hisab maka kesaksian berdasarkan rukyah adalah lebih diutamakan,” katanya dalam kenyataan.
Anhar berkata, Malaysia telah mengamalkan penggunaan kriteria Imkanurrukyah dalam penentuan bulan Islam termasuk Ramadan, Syawal dan Zulhijjah sejak tahun 1992.
Beliau memberitahu, kriteria itu telah ditambahbaik bermula bulan Muharram 1443 Hijrah setelah kajian semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun.
“Imkanurrukyah sebagai mana diamalkan Malaysia dan negara-negara serantau seperti Indonesia, Brunei dan Singapura adalah hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat.
“Syarat tersebut adalah ketika matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang tiga darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah,” jelas belia
Leave a Reply