PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur kerana rakyat Malaysia dapat menyambut kembali Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan normal seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda dahulu.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Bismillahirrahmannirrahim.
Assalamualaikum warathmathullah hi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.
Apa khabar semua? Saya harap saudara- saudari sekalian sihat walafiat.
- Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahi Wa Taala kerana dengan rahmat dan inayah-Nya kita berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan pada Ramadan kali ini.
- Esok 1 Syawal kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sesungguhnya Aidilfitri merupakan hari kemenangan kepada kita setelah sebulan mengharungi ibadah berpuasa.
- Tahun ini sambutan Aidilfitri amat dinanti-nantikan oleh kita semua. Maklumlah sudah dua kali hari raya kita tidak dapat meraikannya dalam suasana ‘raya yang sebenarnya’, gara- gara pandemik COVID-19 yang melanda negara kita dan seluruh dunia.
- Pada dua Adilfitri sebelum ini, kita hanya boleh merayakan dalam normal baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kerana kita masih terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak tersebut.
- Ketika itu sambutan hari raya diadakan dalam skala kecil dan sederhana serta terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja.
- Tidak ada aktiviti kunjung-mengunjung, ziarah- menziarahi atau majlis rumah terbuka malah solat sunat hari raya Aidilfitri juga jemaahnya terhad kepada bilangan yang dibenarkan oleh Majlis-majlis Agama Islam Negeri masing-masing.
- Alhamdulillah tahun ini, insya-Allah suasana berhari raya kita kembali normal seperti tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19, walaupun masih mengikut SOP yang ditetapkan.
Saudara-saudari yang dihormati,
- Semua ini adalah hasil daripada langkah, tindakan dan pendekatan drastik kerajaan sejak dari awal pandemik ini bermula dan komitmen serta disiplin rakyat seluruhnya dalam memerangi wabak COVID-19. Pelbagai bentuk inisiatif pemulihan negara juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan negara kita dapat keluar daripada belenggu pandemik dan rakyat kembali menjalani kehidupan biasa.
- Antaranya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus populasi dewasa negara ini menerima dos vaksinasi lengkap seterusnya membuka jalan bagi membolehkan negara memasuki fasa endemik.
- Saya ingin melahirkan rasa syukur kerana beberapa cadangan dan syor yang dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara yang saya sendiri pengerusikan diterima Kerajaan antaranya pembukaan pintu sempadan negara sepenuhnya serta peralihan ke fasa endemik mulai 1 April lalu yang menjadi ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.
Saudara-saudari sekalian,
- Saya difahamkan ramai yang sudah berada di kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri esok. Kepada yang merancang untuk bergerak pulang malam ini atau pagi esok atau yang sedang memandu ketika ini, saya nasihatkan berhati-hati di jalan raya, sentiasa berdisiplin dan patuh kepada peraturan jalan raya serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.
- Kalau rasa penat, berhenti dan berehat seketika atau bergilir memandu dengan ahli keluarga lain. Saya doakan saudara-saudari dilindungi Allah dan selamat sepanjang perjalanan pergi dan balik.
- Dalam kita gembira dan teruja untuk menyambut lebaran kali ini, jangan sesekali kita lupakan golongan yang tidak bernasib baik, yang mungkin tidak mampu menyambut hari besar ini seperti kita kerana kesusahan, kesempitan hidup atau dihimpit kemiskinan.
- Marilah kita sama-sama membantu golongan yang tidak bernasib baik ini bagi memberikan mereka sedikit kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini.
- Begitulah juga dengan saudara seagama kita di negara-negara bergolak seperti di Palestin, Syria, Iraq dan beberapa negara lagi yang menyambut 1 Syawal dalam keadaan perang yang masih tidak berkesudahan.
- Walaupun kita tidak dapat membantu secara fizikal, marilah kita sama-sama berdoa agar konflik yang sedang melanda negara mereka cepat berakhir dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan dalam suasana aman damai.
Saudara-saudari yang dihormati,
- Pada kesempatan ini juga saya ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang tidak pernah merasa jemu bertugas termasuk pada musim perayaan bagi memastikan keselamatan negara.
- Akhir kata, saya, isteri dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada saudara-saudari sekalian dan seluruh umat Islam, tidak kira di mana jua anda berada.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.
Wabillahi al-taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Leave a Reply