Oleh RAHIMI MOHAMAD
ORANG ramai diminta agar terus berhati-hati dengan sindiket penipuan secara dalam talian yang menggunakan e-mel perniagaan atau penyamaran sebagai kenalan melalui aplikasi media sosial termasuk Telegram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, polis menerima beberapa aduan daripada pihak syarikat yang mendakwa e-mel mereka diceroboh penyamar.
Katanya, penipuan menggunakan e-mel perniagaan telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM802,890 sejak 1 Januari hingga 27 April lalu.
Jumlah berkenaan bagaimanapun berkurang berbanding kerugian bernilai RM3.4 juta yang direkodkan dalam tempoh sama, tahun lalu.
“Modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan menghantar e-mel menyerupai alamat e-mel sebenar rakan niaga mangsa dan mengarahkan mereka membuat bayaran ke akaun bank lain.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan peniaga dan pemilik syarikat yang berkomunikasi melalui e-mel untuk lebih berhati-hati apabila menerima e-mel sedemikian rupa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan untuk berhubung dengan CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Leave a Reply