harry air kencing

[VIDEO] Pengotor… Harry minum air kencing kerana mahu awet muda

Seorang lelaki, Harry Matadeen, 34, mendakwa perbuatan meminum air kencing sendiri adalah kunci untuk kesihatan dan awet muda.

Dia yang berasal dari Hampshire, United Kingdom (UK) percaya amalan yang menjijikkan itu membuatkannya kelihatan 10 tahun lebih muda.

Memetik laporan Mirror, dia telah meminum air kencingnya sejak 2016 dan dikatakan sembuh daripada masalah mental yang dihidapinya.

Kata Harry, kesan meminum air kencing memang ‘luar biasa’ dan ia telah mengaktifkan otaknya serta menghilangkan kemurungan.

“Saya rasa damai, tenang dan bersemangat. Saya fikir ‘wow saya boleh menghasilkannya sendiri secara percuma dan sentiasa kekal dalam keadaan gembira’,” katanya.

Menurut Harry, air kencingnya adalah ‘sangat bersih’ dan kini ‘menikmati’ 200 mililiter cecair najis itu setiap hari.

Lebih menjijikkan, kebanyakan air kencing yang diminumnya telah disimpan selama sebulan.

“Sekarang, saya menyukai bau dan rasa air kencing yang diperam,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Harry dikecam keras oleh keluarganya ekoran perbuatannya meminum air kencing sendiri.

“Keluarga saya tidak bersetuju dengannya dan dari mula mereka berpandangan ia menjijikkan.

“Kakak saya tidak mahu bercakap dengan saya dan salah satu sebabnya adalah terapi air kencing yang saya jalani.

“Saya pula memastikan kawan-kawan saya juga meminum air kencing atau sekurang-kurangnya tidak mengecam perbuatan itu,” katanya.

Harry bukan sahaja minum, malah dia turut melumurkan air kencing pada mukanya sebagai kaedah penjagaan kulit.

“Air kencing menjadikan saya kelihatan lebih muda. Minum air kencing yang diperam telah menyegarkan semula wajah saya seperti usia belia dahulu dan apabila saya melumurkannya ke muka, perbezaannya adalah pantas dan ketara,” katanya.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan, Dr Jeff Foster menyangkal dakwaan Harry.

“Air kencing adalah bahan buangan yang mengandungi kira-kira 90 peratus air. Selebihnya adalah ammonia, garam, bakteria dan bahan buangan lain.

“Tiada manfaat kesihatan pernah dilaporkan tentang meminum atau melumurkan air kencing pada tubuh.

“Ia boleh menjadikan keadaan kesihatan lebih buruk kerana ia akan mempercepatkan proses dehidrasi dan menyebabkan jangkitan bakteria,” jelasnya.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak meniru perbuatan Harry kerana air kencing adalah bahan buangan yang mengandungi pelbagai kotoran yang dikeluarkan dari tubuh.

Malah, Islam mengkategorikan air kencing manusia sebagai najis mutawassitah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *