UMNO yang terlebih dahulu mengisytiharkan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu sebagai musuh parti itu, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Faiz Na’aman.
Memetik laporan FMT, beliau mempersoalkan apa yang dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa PN berdendam terhadap BN.
“Dendam apa yang beliau maksudkan itu?
“Takkanlah beliau jangka Bersatu perlu terus berkhayal untuk bekerjasama dengan BN pula menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sedangkan UMNO sendiri yang terang-terang mahu membalas dendam atas kejatuhan mereka ditolak majoriti rakyat pada PRU lalu,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kesediaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan “sesiapa sahaja” untuk menjatuhkan BN berunsur dendam dan akan menyebabkan parti itu ditolak pengundi.
Malah, Faiz menambah, UMNO turut memusuhi PAS di Kelantan di mana tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Amanah Kelantan merancang kerjasama untuk menguasai Kelantan selepas PRU-15.
“Apa tindakan UMNO terhadap Ku Li? Mana Muafakat Nasional mereka?” soalnya.
Pada masa yang sama, beliau hairan dengan ‘nada’ Annuar terhadap Muhyiddin yang kini berubah berbanding ketika beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dalam Kabinet kerajaan PN dahulu.
“Dahulu, ketika berada di bawah kepimpinan PM8 (Muhyiddin), nadanya defensif berhubung pembentukan kerajaan PN ketika itu. Sekarang dilihat bagaikan mencurah cuka ke dalam luka antara Bersatu dan UMNO,” katanya.
Leave a Reply