TIMBALAN Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mencadangkan perbincangan boleh diadakan melibatkan Parti Bersatu dan Pas yang kini menjadi pembangkang di Johor dan Melaka untuk menyertai khemah besar.
Kata beliau, perbincangan itu atas kapasiti Bersatu dan Pas sebagai parti pembangkang di negeri terbabit dan ia berbeza dengan kedudukan mereka di peringkat Pusat yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.
“Mesti faham mengapa saya seru kepada perbincangan dengan kesemua pihak (termasuk Bersatu dan Pas) adalah kerana ada senario baharu yang kita saksikan ketika ini. Bersatu dan Pas ini, mereka adalah kerajaan di peringkat ‘federal’, tetapi setelah berlaku beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), mereka dah jadi pembangkang, jadi saya melihat isu ini perlu kepada suatu perbincangan.
“Konsep khemah besar itu seperti yang telah kita putuskan dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu sesiapa nak masuk selain daripada barisan pembangkang di peringkat ‘federal’, ia perlukan keputusan Majlis Presiden PH,” katanya kepada pemberita dalam Program Jelajah Singgah Sahur anjuran Pejabat Parlimen Pulai dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bharu hari ini.
Mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan pihaknya sedia untuk mengadakan perbincangan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik, Salahuddin berkata, tawaran tersebut dibuat kemungkinan kerana bekas Perdana Menteri itu melihat ada keperluan bagi perkara berkenaan.
“Saya rasa itu dia (Muhyiddin) bercakap mungkin kerana melihat kepada keperluan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, tetapi apa pun pandangan dia, kita boleh dengar dahulu, namun keputusan tetap di peringkat atasan (PH).
“Ketika ini kita belum memulakan sebarang perbincangan secara rasmi, jadi ‘why not’ kita duduk, cakap-cakap dahulu apa salahnya, di peringkat negeri mereka sudah jadi pembangkang,” katanya.
Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Bersatu sebelum ini menyatakan kesediaan pihaknya untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRU15.
Leave a Reply