JASAD rakyat Malaysia, Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura pada Rabu lalu disemadikan di Hindu Crematorium Buntong di Ipoh, hari ini.
Jasadnya selamat disemadikan mengikut adat dan tradisi masyarakat India, selepas dibawa dari rumahnya di Tanjung Rambutan, 3 petang dan tiba di pusat krematorium itu sejam kemudian.
Suasana pilu menyelubungi perkarangan krematorium itu, apabila lebih 100 ahli keluarga dan sahabat handai mendiang tidak dapat menahan kesedihan, selain ada yang nampak tenang sejurus jasad Nagaenthran tiba.
Mereka memberi penghormatan terakhir kepada mendiang, sebelum pengurusan jasadnya disempurnakan pada 5 petang.
Selasa lalu, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu mendiang, S Panchalai, 60, untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.
Nagaenthran dijatuhkan hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin ke Singapura pada 2009, yang diketahui antara negara mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.
Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 Nov 2021, tetapi diberi penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19, ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.
Leave a Reply