TIMBALAN Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo ingin tahu jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengesahkan dakwaan dalam laporan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Ghazali sebelum memulakan siasatannya.
Melalui Facebook beliau, Ahli Parlimen Puchong melontarkan persoalan; “Adakah aduan itu sudah disahkan dalam kes ini sebelum memulakan siasatan?”
Beliau menegaskan, SPRM perlu mengesahkan fakta dalam laporan sebelum boleh memulakan siasatan mengikut Akta SPRM iaitu Seksyen 29(3) yang menyatakan:
‘’Jika seseorang pegawai suruhanjaya mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan suatu kesalahan di bawah akta ini berikutan aduan yang dibuat mengikut subsekyen (1), dia hendaklah menyiasat dan bagi maksud itu boleh menjalankan segala kuasa penyiasatan yang diperuntukkan di bawah akta ini dan Kanun Tatacara Jenayah.’
Gobind berkata, peruntukan itu adalah bagi memastikan aduan diterima sudah mempunyai asas sebelum siasatan dimulakan terhadap penama dalam laporan.
“Ia menetapkan kewajipan ke atas SPRM, yang menjadi prasyarat penting untuk siasatan dijalankan terhadap individu berkenaan,’’ katanya.
Gobind turut mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki memberikan maklum balas.
“Azam Baki mesti menyatakan sama ada suruhanjaya itu sudah mengesahkan perkara yang dinyatakan dalam laporan terhadap hakim terlebih dahulu.
“Jika ini tidak dilakukan, hakim berkenaan tidak boleh disiasat kerana asas aduan belum dapat dipastikan,” katanya.
Semalam, SPRM menafikan kritikan berhubung siasatannya ke atas Nazlan dengan menegaskan ia mempunyai kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta SPRM 2009 untuk menyiasat mana-mana pegawai awam, termasuk hakim.
Nazlan membuat laporan polis minggu lalu berhubung artikel berita yang mendakwa beliau disiasat berhubung sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.
Nazlan adalah hakim yang mendapati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana milik SRC International pada 28 Julai 2020.
Leave a Reply