AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan mengetuai gabungan politik baharu yang dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan.
Matlamat gabungan kerjasama antara tokoh politik veteran UMNO yang lebih dikenali sebagai Ku Li dan Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan itu adalah untuk membawa perubahan di negeri itu.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
“Tahniah dan terima kasih kepada Ayahanda ambo YBM Ku Li kerana sudi mengepalai gerakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang merentas batas kepartian dan kepuakan.
“Amanah Kelantan bersedia bergabung tenaga dan memberi kerjasama yang sepenuhnya demi membawa dan menawarkan satu perubahan kepada rakyat Kelantan.
“Allah tidak mengubah nasib dan situasi kita kecuali kita sendiri mengubah apa yang ada pada kita. Kita hanya menawarkan, rakyatlah yang memilih,” katanya.
Beliau turut memaklumkan program pertama Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan adakan berlangsung pada 7 Mei ini.
Setakat ini, masih belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ku Li atau UMNO berhubung perkara tersebut.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, Tengku Razaleigh mengambil tindakan secara individu dan bukan diputuskan oleh parti.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita mengenai Tengku Razaleigh mengadakan satu pertemuan dan perbincangan awal antaranya dengan pimpinan Amanah Kelantan baru-baru ini.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, prinsip UMNO adalah jelas, setiap keputusan mengenai sebarang hubungan hanya boleh diputuskan oleh parti.
“Kalau sesiapa sahaja bertindak atas sifat individu, maka tindakan itu jadilah kerja individu. Individu tak semestinya serupa dengan kerja parti, jadi setakat yang saya tahu inisiatif yang dikatakan itu hanya inisiatif peribadi. Mudah sahaja, apa-apa perkara yang parti putuskan maka itulah yang kita pegang dan ikut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Zakat Fisabilillah kepada 259 pelajar tingkatan enam Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di Kota Bharu hari ini.
Leave a Reply