PULAU Pinang akan mengharamkan rumah sewa jangka pendek atau inap desa di hartanah bertanah dan bertingkat “tidak lama lagi” sejajar ikrar kerajaan negeri untuk memerangi gangguan berpunca daripada pelancong di pangsapuri, kondominium dan kawasan perumahan.
Exco Kerajaan Negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, walaupun tempoh pengharaman itu belum diputuskan, kerajaan negeri sudah bersetuju dengan rancangan itu, berdasarkan pelbagai aduan daripada kumpulan penduduk.
“Sama ada rakyat suka atau tidak, kami akan berpendirian tegas dalam perkara ini. Kawasan perumahan untuk penduduk. Jika anda sedang bercuti, pergi ke hotel,” katanya kepada portal FMT.
Jagdeep, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, berkata larangan dalam bentuk “garis panduan” itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk dilaksanakan.
Katanya, garis panduan itu, antara lain, akan memberi kuasa kepada badan pengurusan pangsapuri, kondominium atau sebarang hartanah berstrata mengambil tindakan terhadap pemilik rumah ingkar yang membenarkan penyewaan jangka pendek.
“Kami mungkin negeri pertama yang berbuat demikian. Satu lagi garis panduan akan diperkenalkan untuk hartanah bertanah, sementara menunggu isu perundangan yang perlu kami selesaikan,’’ kata beliau.
Jagdeep berkata, disebabkan jumlah harta berstrata di Pulau Pinang adalah ketiga tertinggi dalam negara, garis panduan itu akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan dan keselamatan sosial untuk penduduk.
Di bawah undang-undang persekutuan, katanya, badan pengurusan bersama (JMB) atau jawatankuasa pengurusan (MC) hartanah berstrata (biasanya pangsapuri dan kondominium) boleh memperkenalkan larangan inap desa.
Jagdeep berkata, ini boleh dilaksanakan melalui peraturan dalaman hartanah seperti yang dibenarkan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013. Di bawah akta itu, JMB atau MC boleh mengenakan denda sehingga RM200 kepada individu melanggar peraturan itu.
Katanya, walaupun memahami pemilik hartanah mahu menjana pendapatan tambahan melalui inap desa, tidak adil untuk berbuat demikian tanpa persetujuan penduduk lain di hartanah atau kawasan perumahan sama.
Beliau berkata, jika pemilik berminat menyewakan unit mereka, mereka perlu mendapatkan persetujuan daripada sekurang-kurangnya 75% penduduk dan ini mesti direkodkan JMB atau MC dalam mesyuarat agung tahunan.
Leave a Reply