Budak lelaki dua tahun maut, lima cedera dua rumah terbakar

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut manakala lima yang lain termasuk bayi perempuan berusia lapan bulan cedera dalam kebakaran di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan, pukul 3 pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kebakaran tersebut melibatkan dua rumah jenis berkembar separuh kekal.

“Kedua-dua rumah itu musnah dijilat api selain turut melibatkan tiga kenderaan dengan satu hangus manakala dua lagi mengalami rosak teruk.

“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan daripada MERS 999 pada pukul 3.15 pagi berhubung kejadian tersebut.

“Seramai sembilan anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas ke lokasi bersama sebuah jentera dan kenderaan penyelamat untuk operasi pemadaman dan penyelamatan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

Ismail berkata, operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos dari tangki pam jentera bomba dan bantuan air dari jentera tangki air.

“Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *