SEORANG peguam yang berpengalaman dalam kes imigresen, Harpal Singh memaklumkan, warga asing yang sepatutnya dihantar pulang boleh dilepaskan daripada tahanan bagi mengelakkan kesesakan di depot imigresen.
Beliau berkata, itu berdasarkan peruntukan dalam Seksyen 34 Akta Imigresen memberi kuasa kepada ketua pengarah untuk menggunakan budi bicaranya bagi membebaskan warga asing yang ditahan di depot jika dia diberi beberapa bentuk jaminan keselamatan.
“Peraturan 14 di bawah Peraturan Imigresen juga membenarkan ketua pengarah mengeluarkan pas khas kepada warga asing untuk berada di luar depot tersebut,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.
Katanya, kerajaan boleh menjimatkan banyak dana penyelenggaraan sekiranya jumlah warga asing yang dihantar pulang lebih sedikit.
Jelasnya, kos makanan dan menjaga tahanan itu adalah kira-kira RM35 sehari dan semua itu ditanggung oleh pembayar cukai.
Minggu lalu, seramai 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari depot imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu, Kedah. Enam daripadanya mati selepas dilanggar kereta ketika cuba melintasi lebuh raya. Selebihnya pula berjaya ditahan semula kecuali 72 lagi yang masih bebas.
Harpal berkata, ketidakpastian mengenai berapa lamakah mereka akan ditahan menyebabkan kekecewaan dalam kalangan tahanan.
“Tetapi beberapa komandan depot bersikap proaktif dengan bekerjasama dengan kedutaan asing bagi memastikan tahanan berlepas pulang secepat mungkin,” katanya.
Seorang lagi peguam, Varghese Onny berkata, pelarian dan pencari suaka mengambil masa untuk mendapatkan kad UNHCR, iaitu dokumen identiti yang sah walaupun ia tidak melayakkan pemegangnya mendapatkan pekerjaan.
“Ia boleh menjadi sangat mengecewakan untuk kekal di depot selama-lamanya sementara menunggu untuk mendapatkan kad itu,” katanya.
Menurutnya, warga asing tersebut harus dibenarkan bekerja untuk menyara hidup sementara UNHCR berusaha menempatkan mereka di negara ketiga.
Tambahnya, perlu ada kawalan ketat di kawasan sempadan bagi menghalang kemasukan warga asing ke negara ini.
Leave a Reply