PARA perantau anak Kelantan diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika pulang menyambut Aidilfitri kerana polis mengenalpasti terdapat 16 lokasi yang sering berlaku kemalangan maut di negeri itu.
Ia penting bagi mengelak berlakunya tragedi berdarah.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, di Kota Bharu terdapat tiga lokasi maut melibatkan Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh (Kubang Kerian-Melor), Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa (JalanTok Guru), Jalan Salor Baru-Pasir Mas dan Jalan Binjai-Bachok (Padang Bongor).
Menurut beliau, ia diikuti lokasi di Gua Musang Kilometer (km) 59-62 Jalan Gua Musang-Kuala Lumpur di Sungai Bayu dan km 52-59 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Air Panas), Machang (km 48-52 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai serta Jalan Machang-Tanah Merah, Wakaf Bata) dan Pasir Mas (km 7-31 Jalan Kota Bharu-Pasir Mas dan km 5-14 Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Tanah Merah (Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli).
“Sementara itu di Kuala Krai (km 57-60 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kampung Keroh), Jeli (km 115-125 Jalan Jeli-Grik), Tumpat (km 3-7 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor), Bachok (Jalan Jelawat-Beris Lalang-Tok Bali) dan Pasir Puteh (km 47-51 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Bukit Yong) masing-masing melibatkan satu kawasan panas yang sering berlaku kemalangan maut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 18/22 Sempena Hari Raya Aidilfitri di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Jawa di pasir Puteh, Kelantan hari ini Sinar Harian.
Hadir sama Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.
Menurut Muhamad Zaki, penempatan anggota secara bergerak dan bergilir-gilir di lokasi-lokasi maut akan dilakukan dari semasa ke semasa, langkah ini supaya masyarakat dapat melihat kehadiran pihak berkuasa di kawasan tersebut.
Menurut beliau, pendekatan dibuat merupakan salah satu usaha melihatkan langkah itu mampu mengurangkan risiko kemalangan atau sebaliknya.
“Saya harap pengguna jalan raya dapat mematuhi segala peraturan bagi mengelakkan insiden tidak diingini daripada berlaku,” ujarnya.
Beliau berkata, mengenai Op Selamat, pihaknya masih lagi mengekalkan objektif sama iaitu berkait dengan aspek keselamatan jalan raya dan di rumah.
Leave a Reply