Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
ENAM anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal ditahan susulan kejadian seorang tahanan lelaki meloloskan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru, Pulau Pinang tengah malam semalam.
Kesemua anggota berusia 20-an hingga 30-an itu kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes itu di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya tidak berkompromi dalam menjalankan siasatan kes itu dan akan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Mengulas kejadian itu, jelas beliau, tahanan yang dikenali Azizi Mohammad Hassan, 33, itu ditahan atas kesalahan membabitkan dadah pada 20 April lalu.
“Suspek sedang ditahan serta menunggu keputusan sama ada dikenakan tahanan menurut Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
“Susulan kejadian ini juga, kita telah melancarkan operasi untuk mengesan suspek berkenaan,” katanya selepas melancarkan Op Selamat ke-18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat Pulau Pinang hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, seramai 61 lagi tahanan Rohingya yang meloloskan diri dari Depoh Sementara Imigresen Relau, Kedah minggu lalu masih diburu sehingga kini.
Kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan tahanan berkenaan telah melepasi sempadan Pulau Pinang dan berada di negeri jiran.
“Kita bimbang kemungkinan tahanan Rohingya ini telah berasimilasi dengan penduduk tempatan.
“Kejadian ini sudah seminggu berlaku dan mereka mungkin mendapat bantuan dari segi makanan, sebab itu berjaya mengelak ditangkap,” katanya.
Leave a Reply