PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhasrat untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Mukhriz, bagaimanapun berkata, parti itu belum membuat sebarang keputusan berkaitan jumlah kerusi dan kawasan ditandingi di Sabah pada PRU-15.
“Insya-Allah, kita (Pejuang) akan menyertai pilihan raya umum termasuk di Sabah tetapi belum ada keputusan dibuat berkaitan jumlah kerusi, di mana (kawasan) hendak bertanding dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama Pejuang Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir Ketua Pejuang Sabah, Nicholas Sylvester Abdullah.
Mengenai Pejuang Sabah, Mukhriz berkata, ia akan dilancarkan secara rasmi di negeri ini pada 22 Mei ini, selain pihaknya turut bercadang untuk memperluaskan lagi pengaruh parti itu di semua 25 kawasan Parlimen seluruh Sabah sebagai antara persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Mukhriz berkata, Pejuang berharap dapat membuka cawangan di semua kawasan Parlimen itu dan pada masa ini mempunyai 16 cawangan yang sekali gus menjadi negeri ketiga mempunyai keahlian paling ramai selepas Kedah dan Selangor.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersikap terbuka untuk membuat perbincangan mengenai jalinan kerjasama dengan mana-mana parti bagi mendepani PRU-15 bukan hanya di Sabah tetapi juga di Semenanjung Malaysia.
Katanya, semua pihak walaupun mempunyai perbezaan ideologi politik, namun masing-masing memiliki persamaan iaitu untuk mengubah corak politik negara sepertimana pada PRU-14 lepas.
Mengulas agenda “khemah besar” dibawa oleh Pakatan Harapan (PH), Mukhriz berkata, Pejuang ingin mendengar dan memahami terlebih dahulu maksud sebenar tawaran itu.
“Apa peranan setiap parti termasuk kami yang dianggap sebagai parti kecil, hanya empat ahli Parlimen. Jadi kita mahu beri ruang kepada mereka untuk menerangkan maksud sebenar ‘khemah besar’ itu.
Kalau ingat zaman PH pasca PRU14, ’khemah besar’ yang diwujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti tidak kira berapa jumlah kerusi dimenangi penyertaan dalam jemaah menteri. Itu satu pendekatan. Jadi kita nak faham apakah pendekatan seperti itu juga hendak diamalkan atau ada pihak tertentu akan mendominasi ‘khemah besar’ tersebut,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply