Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
SEORANG penuntut Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dijumpai maut dipercayai terjatuh dari tingkat lapan asrama penginapan Desa Siswa Tekun, Bayan Baru malam tadi.
Mangsa yang dikenali Lukman Hakim Mat Rani, 22, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di pekarangan bangunan berkenaan oleh orang awam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi media mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian melibatkan seorang penuntut di universiti berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Jelas beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menunggu proses bedah siasat dijalankan termasuk ujian saringan Covid-19.
“Polis juga mengenal pasti rakan sebilik si mati dan akan memanggil mereka untuk memberi keterangan mengenai kejadian itu,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan polis mengklasifikasikan kematian penuntut berkenaan sebagai mati mengejut (SDR) buat masa ini.
Leave a Reply