Hilangnya sisi ceria Ghazali Basri kerana dementia

SESIAPA mengenali sosok lelaki berusia 53 tahun ini, pasti ingat perwatakan ceria, bertenaga dan jenaka yang menyeri kehidupan keluarga dan rakan-rakan satu ketika dahulu.

Dalam kalangan jurugambar media, dia ibarat penyeri ketika berada di lokasi tugasan dengan telatah lucu dan sikap suka mengusik.

Namun semua keceriaan itu kini hilang, bertukar dugaan buat bekas jurugambar Utusan Ghazali Basri apabila disahkan menghidap penyakit dementia, sejenis penyakit kurang daya ingatan sejak tahun lalu.

Ketika ditemui SatuBerita di kediamannya di Rawang, ayah kepada enam anak itu lebih banyak tersenyum daripada berkata-kata seperti kebiasaannya.

Matanya sentiasa melilau seolah-olah cuba mencari sesuatu, sesekali kelihatan keliru dan sentiasa termenung seperti sedang cuba untuk mengingati sesuatu.

Ghazali Basri ketika ditemui SatuBerita di kediamannya di Rawang baru-baru ini.

Menurut isteri Ghazali, Khatibah Ismail, sejak suaminya disahkan menghidap penyakit dementia sekitar seminggu sebelum Aidilfitri tahun lalu, ia bukan sahaja memberi perubahan kepada personaliti Ghazali, malah kepada rutin harian mereka.

“Selepas dia kena dementia, dia banyak tidur. Sebelum ini dia seorang yang aktif, tak pandai duduk diam, dia rajin bekerja, bila dah jatuh sakit dia banyak tidur.

“Makan pun tak berapa nak ingat sangat. Kita kena jaga makan, solat dia. Kalau lambat sikit nak pergi tandas tu, memang terbuang air lah,” katanya.

Menurut Khatibah, antara perubahan lain suaminya yang dahulu seorang yang suka bercakap, kini lebih banyak mendiamkan diri, namun Khatibah sentiasa mencuba untuk berbual bersama suaminya dalam usaha untuk memastikan otak beliau sentiasa aktif.

Penyakit dementia yang dihadapi Ghazali ini membuatkan beliau kadang kala terlupa akan perkara-perkara yang pada hemat orang lain, mudah diingati.

Ghazali Basri (tiga dari kiri) bersama rakan-rakan media suatu ketika dahulu.

“Yang akak perasan, masa awal-awal dulu, waktu pagi, lepas dia mandi atau lepas ambil wudhuk, ingatan dia teruk, selalu dia siap-siap pakai baju untuk pergi kerja, sedangkan dia dah tak bekerja. Pemikiran dia berkecamuk.

“Dia tidak kenal waktu siang, atau malam. Warna pun tidak dapat bezakan,” luah Khatibah lagi.


Menurut Khatibah, suaminya itu juga kadangkala terlupa akan umurnya dan bilangan anaknya sendiri.

“Dia kata umur dia 32. Dia sebut anak dia pun 5, masa itu anak-anak dia kecil, dia ingat umur yang masa muda, kadang-kadang masa mula-mula dia sakit tu, anak dia yang bongsu baring di tepi, dia lupa “ini siapa?” ujarnya.

Sementara itu, Khatibah menjelaskan bahawa keluarganya kini bergantung bantuan zakat sebanyak RM650 sebulan sebagai sumber pendapatan utama.

Ghazali kini menjalani rawatan fisioterapi untuk penyakit dementia beliau. Foto-Ihsan Khatibah Ismail

Katanya, tiga daripada enam orang anak yang sudah bekerja sentiasa menampung keperluan mereka.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri ini tetap bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah dan menerima ujian mereka dengan hati yang reda.

“Doktor ada bagi tahu, untuk sakit macam abang ni, kita kena bagi respons untuk dia aktif balik, ingat balik, belajar balik. Kalau kita biarkan, dia mungkin boleh lumpuh.

“Keluarga yang mempunyai sakit dementia ini, ahli keluarga kena sabar. Kita kena bagi respons supaya dia bersifat positif. Kena banyak sabar,” katanya.–SB

*Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 162012603392 – Ghazali Basri


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *