bigfoot

Menakutkan… wanita terserempak Bigfoot mengganas di ladang

SEORANG wanita mendakwa dia mempunyai pengalaman menakutkan berdepan dengan haiwan gergasi dipercayai Bigfoot di rumah ladang mereka pada waktu malam.

Memetik laporan Mirror, Jacqueline Lange berkata, kejadian itu berlaku semasa dia bekerja di ladang berkenaan di Manitoba, Kanada pada 1981.

Katanya, dia terdengar bunyi yang kuat ketika bekerja di dalam bangsal ot.

Kemudian, Lange keluar dan melihat kuda-kuda bertempiaran lari dan seekor makhluk gergasi berdiri dan memandang ke arahnya.

“Saya sangat takut, keluar dari bangsal dan kuda-kuda tiada lagi di situ. Kemudian saya terdengar bunyi sesuatu sedang bergerak dalam kawasan gelap di belakang bangsal.

“Saya berundur sehingga dapat melihat sesuatu yang lebih tinggi daripada bangsal tersebut. Ia memandang ke kiri dan ke kanan sebelum berpusing merenung ke arah saya.

“Ketika itu, saya tidak tahu apa benda itu dan ia menderam. Saya panik dan berlari ke bangsal serta memberitahu pembantu saya apa yang saya nampak.

“Kami datang semula dengan membawa serampang peladang dan ia masih ada di situ, memandang ke arah kami sambil menderam.

“Kami kemudian menjerit dan ia melompat ke padok dan terus lari,” jelasnya.

Pemilik ladang kemudian datang membawa senapang patah namun haiwan itu tidak muncul semula.

Kira-kira pukul 3 pagi, polis datang ke ladang itu dan memberitahu tentang kuda-kuda mereka yang ditemukan berkeliaran.

Mereka mendapati kuda-kuda tersebut dalam keadaan ketakutan dan telah merempuh pagar dawai serta menumbangkan tiang ketika melarikan diri.

Keesokannya, akhbar melaporkan, seorang anggota polis ternampak ‘haiwan yang tinggi dan berbulu melompat melepasi pagar setinggi 10 kaki’.

“Kejadian itu berlaku lebih 40 tahun lalu dan saya masih mengingatinya seolah-olah ia baru terjadi semalam, memang menakutkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Penyelidik Lapangan Bigfoot (BFRO), Matt Moneymaker berkata, pihaknya menerima ribuan laporan setiap tahun daripada individu yang mendakwa telah melihat makhluk berkenaan.

Malah, Moneymaker sendiri pernah terserempak dengan Bigfoot sebelum dia menubuhkan BFRO.

“Saya percaya kisah itu bukan direka-reka. Setiap perkara yang dia gambarkan tentang haiwan itu adalah konsisten dengan pemahaman kami tentang Bigfoot.

“Mereka wujud di Manitoba, biasanya datang ke ladang pada musim sejuk lebih-lebih lagi yang mempunyai haiwan ternakan yang dimakan mereka apabila lapar,” katanya.

Dia menambah, Bigfoot dipercayai suka makan ot dan tidur atas jerami di dalam bangsal.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *