Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
(KEMAS KINI) TIGA remaja maut manakala seorang lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Jalan Delima, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pada jam 10.30 malam.
“Semua mangsa berusia 15 dan 16 tahun itu masing-masing menunggang motosikal bergesel sesama sendiri sebelum mengakibatkan kemalangan.
“Akibat insiden tersebut, tiga mangsa telah tercampak di atas jalan dan terlanggar batu berumput bahu kiri jalan manakala seorang mangsa jatuh di batu berumput bahu kanan jalan.
“Kesemua mangsa yang meninggal dunia adalah remaja berumur 15 hingga 16 tahun manakala yang cedera parah berumur 17 tahun. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak terutama yang masih di bawah umur supaya tidak membenarkan mereka menunggang motosikal atas jalan raya dan tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram.
Sementara itu, seorang saksi yang juga rakan mangsa hanya mahu dikenali sebagai Apit, 16, berkata, kejadian itu berlaku semasa dua kunpulan motosikal dipercayai sedang berlumba di jalan berkenaan.
“Motosikal mereka kemudian bertembung sesama sendiri dari arah bertentangan. Semasa kejadian banyak motosikal yang terlibat tetapi mereka semua melarikan diri selepas kemalangan tersebut.
“Saya lihat tiga mangsa nazak di tempat kejadian termasuk rakan saya manakala seorang lagi dikatakan kritikal,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kemalangan mendapati, darah dan cebisan daging mangsa bertebaran di pinggir jalan tersebut sebelum dibersihkan penduduk setempat.
Leave a Reply