PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Gombak tidak perlukan ketua baharu kerana masih yakin dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengemudi Gombak dan juga Selangor.
Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Gombak, Muhammad Husaini Mohd. Yunos berkata, PKR Cabang Gombak pernah melalui fasa sukar, malah sudah
jauh meninggalkan siri pengkhianatan disebabkan Langkah Sheraton.
Sinar Harian melaporkan, Amirudin telah berusaha membina keyakinan kepada anggota parti Gombak untuk teguh bersama PKR.
“Ini jelas terbukti melalui kredibiliti dan kepemimpinan Amirudin yang kekal di tahap terbaik serta tidak terjejas sedikit pun kerana pengkhianatan bekas pemimpinnya.
“Kerja keras ini bukan sahaja diakui oleh anggota bawahan tetapi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberikan pujian secara terbuka menerusi program bersama anggota dan pimpinan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam sebuah portal berita yang memberitahu mempunyai masalah kepercayaan dengan kepimpinan Amirudin sebagai Ketua PKR Cabang Gombak.
Farhash akan mencabar Amirudin bagi jawatan Ketua PKR Cabang Gombak selain turut bersaing bagi kerusi Naib Presiden PKR.
Muhammad Husaini berkata, Farhash tidak perlu menjadi jaguh di Gombak susulan anggota parti tekad memberikan kepercayaan kepada Amirudin untuk kekal memimpin.
“Insya-Allah, kami berterima kasih dengan apa jua usaha dan daya memperkukuh parti di mana-mana tahap, namun kami istiqamah tidak memerlukan hero kesiangan untuk mengajar kami,” katanya.
Leave a Reply