Warga emas, menantu dicederakan wanita asing mengamuk depan rumah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG warga emas dan menantunya cedera parah selepas terkena besi dilibas seorang wanita warga asing yang mengamuk di hadapan rumah mereka di Taman Setia Jaya, Batu Pahat, pukul 5.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian bermula apabila wanita warga asing itu, 37, datang ke pekarangan rumah mangsa lalu membuat bising dan menjerit-jerit sambil melibas sebatang besi.

Beliau berkata, melihat kekecohan yang berlaku kedua-dua mangsa kemudian keluar dari rumah dan menenangkan wanita asing tersebut.

“Kedua-duaa mangsa meminta suspek yang merupakan jiran mereka supaya pulang ke rumah. Mereka turut risaukan perbuatan suspek akan mengenai dan merosakkan sebuah kereta milik keluarga mangsa yang berada depan rumah.

“Suspek sebaliknya semakin bertindak agresif dan mula menyerang serta mengejar seorang wanita daripada keluarga mangsa kerana merakamkan perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, dua mangsa tersebut yang merupakan suami dan bapa wanita berkenaan cuba menenangkan serta menghalang tindakan suspek namun mereka berdua terkena libasan besi.

Menurutnya, suami wanita berkenaan yang berusia 41 tahun luka di bahagian hidung dan bibir manakala bapa wanita itu yang berusia 65 tahun bengkak mata kanan dan patah sebatang gigi.Kedua-dua mangsa katanya, mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat sementara wanita yang cuba diserang suspek tidak mengalamai sebarang kecederaaan.

“Sejurus menerima laporan kejadian ini pihak polis pergi ke tempat kejadian dan menahan suspek serta merampas besi tersebut,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama lima hari bermula Jumaat untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda atau sebat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *