pusat karaoke

Pusat karaoke terbakar di bulan Ramadan, tiga maut

Oleh RIZQI ZABIDI

SERAMAI dua lelaki dan seorang wanita ditemukan maut akibat kebakaran yang berlaku di sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong dekat Alor Setar, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Mak Barry, 30, Kim Mei Ki, 31 dan Jeffry Tan Wui, 30.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Syufaat Kamaron, ketika kejadian premis itu tidak beroperasi namun ketiga-tiga mangsa yang merupakan pelanggan pusat hiburan berkenaan, dikatakan bermalam di situ.

“Kami dimaklumkan terdapat 11 individu ketika kejadian itu berlaku dengan lapan daripadanya sempat menyelamatkan diri.

“Mayat ketiga-tiga mangsa tersebut ditemui dalam dua bilik ‘VVIP’ di tingkat bawah premis tersebut,” katanya.

pusat karaoke
Anggota bomba cuba masuk ke dalam pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong, Kedah yang terbakar dan dipenuhi asap tebal bagi mencari mangsa.

Beliau menambah, pihak bomba berdepan kesukaran untuk mencari mangsa berikutan asap yang tebal selain terdapat terlalu banyak bilik dalam pusat karaoke itu.

Syufaat berkata setakat ini pihak polis dan pemilik mengesahkan tiada mangsa lain yang berada di dalam premis dan kerja-kerja akhir sedang dijalankan bagi memastikan tiada bara api yang dibimbangi akan menyebabkan berlaku kebakaran lagi.

“Kerja-kerja untuk mengeluarkan asap dari premis berkenaan sedang dilakukan dan pasukan forensik kebakaran bomba juga telah masuk untuk menjalankan siasatan.

“Mayat pertama hanya dapat dikeluarkan pada pukul 12.39 tengah hari manakala mangsa kedua dan ketiga ditemui pada pukul 12.58 tengah hari dan 1.13 petang.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian setakat ini masih disiasat,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *