PRU-15:PH sedia kerjasama termasuk dengan Bersatu, Pas jika tiada kekuatan tewaskan BN

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pakatan Harapan (PH) boleh menimbang untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tegasnya, pendirian itu wajar dibuat sekiranya PH mengandaikan tidak mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

Saifuddin Nasution berkata, pendirian itu juga merupakan satu daripada enam ketetapan yang dipersetujui kepimpinan PH ketika mengadakan ‘retreat’ di Port Dickson pada tahun lalu.

“Reaksi setiap pimpinan itu berbeza (berhubung kerjasama khemah besar), tetapi saya berpegang kepada ketetapan keputusan resolusi temu rapat dahulu, hendak kata apa sekalipun kita masih berpandu kepada apa yang disepakati dahulu.

“Jadi pendekatan itu adalah PH sedia berbincang dengan semua pihak, semua pihak itu pula boleh jadi sesiapa sahaja, berbincang dengan semua.

“Kita ‘register’ dahulu untuk sedia ambil pendekatan terbuka dan berbincang, itu adalah satu kenyataan yang ‘open ended’ dan itu adalah ayat asal dalam resolusi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, hari ini.

Sebelum ini beberapa kepimpinan parti komponen PH menyuarakan pendapat yang berbeza berhubung penglibatan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam konsep khemah besar yang dipelopori mereka.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dilaporkan enggan melibatkan kedua-dua parti berkenaan manakala Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa perbincangan diadakan dengan kedua-dua parti itu.

Sementara itu, apabila ditanya tentang keyakinan dan kekuatan PH menjelang PRU-15 yang dijangka diadakan pada akhir tahun ini, Saifuddin berkata, perkara tersebut adalah sangat dinamik.

“Itu dinamik, buat masa sekarang kita fokus untuk mengukuhkan PH, tetapi pada masa sama kita juga baca isyarat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

“Usaha pengukuhan ini boleh dibuat melalui beberapa kaedah antaranya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan lebih kerap, memperbaiki kelemahan satu sama lain dan menggerunkan jentera pilihan raya bersama-sama,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *