PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebocoran dokumen minit mesyuarat didakwa milik Pas yang tular sejak kelmarin tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Sinar Harian melaporkan, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kebocoran dokumen empat muka surat itu.
“Kita pun tidak tahu dokumen itu betul atau tidak,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas pelancaran buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di Putrajaya, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebocoran dokumen tersebut.
Sebelum ini, empat keping tangkap layar mengenai percaturan politik Pas antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah, menjadi tular di media sosial.
Dokumen tersebut diklasifikasikan sebagai sulit itu dipercayai merupakan minit mesyuarat Pas yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Leave a Reply