pistol

Beli pistol tiruan kerana hobi, juruteknik didenda RM2,000

SEORANG juruteknik didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah memiliki pistol tiruan yang dibeli secara dalam talian, dua hari lepas.

Majistret S Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Rashid Shuhaimi, 29, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Abdul Rashid membayar denda tersebut.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mageswary menyoal tertuduh sebab dia membeli pistol itu dan Abdul Rashid menjawab: “Beli untuk hobi, sukan menembak”.

Mageswary menasihatkan bapa kepada seorang anak itu agar mengikuti kursus menembak untuk mendapatkan lesen sekiranya berminat sukan itu, bukannya memiliki pistol tiruan.

Abdul Rashid didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenama GLOCK, sebuah kelopak warna hitam dan 128 butir peluru di sebuah rumah di Perumahan Rakyat Pantai Permai, Jalan Pantai Dalam, Brickfields, Kuala Lumpur pada 3.45 pagi, 20 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Zolazrai Zolkapli mewakili Abdul Rashid merayu hukuman minimum kerana anak guamnya yang mempunyai pendapatan RM1,000 sebulan perlu menanggung isterinya yang tidak bekerja dan seorang anak berusia tujuh bulan.

“Anak guam saya membeli pistol itu di platform jualan dalam talian, jadi orang awam boleh membelinya bila-bila masa. Anak guam saya juga membeli senjata berkenaan hanya untuk permainan, bukan tujuan jenayah,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *