SEBUAH pangsapuri di Sderot yang terletak dalam wilayah Palestin diduduki Israel mengalami kerosakan akibat serangan roket dilancarkan pejuang Palestin, malam tadi.
Palestinian Information Center yang memetik media Israel melaporkan, empat warga Israel mengalami trauma akibat serangan roket tersebut.
Serangan tersebut telah menyebabkan siren amaran dibunyikan di Sderot dan Kibbutz Nir Am.
Belum ada puak pejuang Palestin di Gaza yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan roket ketika ketegangan memuncak di Jerusalem dan keganasan yang dilakukan polis rejim Zionis di Masjid al-Aqsa.
Pada malam Isnin, pesawat tempur Israel melancarkan serangan di selatan Gaza sebagai tindak balas terhadap roket yang dilancarkan dari wilayah itu pada hari yang sama.
Roket yang kali pertama dilancarkan dari Gaza dalam tempoh empat bulan itu dapat dipintas sistem pertahanan antipeluru berpandu Israel atau Iron Dome.
Ketegangan yang berterusan dan tindakan ganas polis rejim Zionis sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan konflik baharu akan tercetus di wilayah bergolak itu.
Pada 15 April lalu, sekurang-kurangnya 60 penduduk Palestin dilaporkan cedera akibat pertempuran dengan unit polis Israel, yang menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis.
Agensi Berita Palestin Wafa pada Jumaat memetik Bulan Sabit Merah Palestin, melaporkan bahawa unit polis Israel pada pagi Jumaat menyerbu Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, ketika ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Subuh.
Polis melepaskan tembakan peluru getah, melancarkan bom bunyi dan menyebarkan gas pemedih mata. Rakaman di media sosial itu turut menunjukkan warga Palestin membaling batu ke arah anggota polis.
Bulan Sabit Merah Palestin membantu berpuluh-puluh mangsa yang cedera, sambil memindahkan lebih 60 orang ke hospital Baitulmuqaddis. Majoriti mangsa mengalami kecederaan pada badan.
Insiden itu berlaku pada Jumaat kedua Ramadan, yang mengumpulkan ribuan umat Islam menunaikan solat. Minggu sebelumnya, Masjid Al-Aqsa dihadiri hampir 80,000 orang untuk solat Jumaat, menurut Wafa.
Media juga melaporkan bahawa tentera Israel mengehadkan bilangan orang yang memasuki Baitulmaqdis dari Tebing Barat yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.
Leave a Reply