PH Bersatu PAS PKR MoU

PH mesti jiwa besar, buka pintu rundingan dengan Bersatu dan PAS

PAKATAN Harapan (PH) perlu membuka pintu rundingan dan perbincangan kepada semua pihak termasuk Bersatu dan PAS bagi membentuk kem pembangkang yang ampuh dalam menentang Barisan Nasional (BN).

Saranan itu disuarakan oleh Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang pada masa sama, meminta pemimpin-pemimpin pembangkang berjiwa besar dengan melupakan perkara lalu.

Memetik laporan BH, apa yang penting, kata beliau, adalah merealisasikan gagasan Khemah Besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) demi memastikan pembangkang bersepakat sekali gus berupaya meyakinkan pengundi untuk menyokong besar.

Salahuddin menambah, sehubungan itu, pembangkang sewajarnya duduk semeja dan berani membuat keputusan yang besar untuk berdepan dengan BN.

“Kalau kita tak capai kesepakatan kita akan hancur berkecai. Jadi saya harap kita dapat buat sesuatu dan Amanah sendiri sentiasa akan ambil sikap proaktif dan progresif untuk melakar satu politik baharu yang kita akan lakukan secepat mungkin sebelum PRU-15.

“Kalau kita dapat adakan satu persefahaman untuk memaafkan dan melupakan, tidak lagi mengungkit masa lalu untuk kita melakari masa depan. Ini yang penting ketika ini untuk kita jadikan realiti.

“Jadi kita perlu duduk semeja fikirkan mengenai kesepakatan satu lawan satu daripada berpecah-belah,” katanya selepas majlis Iftar bersama pengamal media Johor, di Johor Bahru, malam tadi.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, perbincangan antara PH, Bersatu dan PAS perlu dilakukan lebih awal untuk menghadapi musuh.

“Kita boleh berbincang sekarang, untuk bertemu kita buka pintu kita seluas-luasnya dan keputusan tidak perlu dibuat ketika ini.

“Kita berjumpa berbincang dulu. Tak bolehlah dulu kita tak berkawan, sekarang pun nak teruskan permusuhan,” ujarnya.

Namun, Presiden Amanah, Mohamad Sabu baru-baru ini berkata, pendekatan ‘khemah besar’ yang dianjur partinya tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau PAS.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *