BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan perkara tersebut dalam kenyataan media serta mewakili seluruh warga perkhidmatan awam merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Beliau menyifatkan Ali sebagai tokoh besar dalam perkhidmatan awam negara.
“Beliau merupakan anak jati Johor serta dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13, menyertai Perkhidmatan Tadbir dan
Diplomatik pada tahun 1981.
“Menelusuri sejarah gemilang perkhidmatannya, beliau telah menabur bakti di pelbagai kementerian dan jabatan antaranya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.
“Sesungguhnya, pemergian beliau di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.
“Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Ali meninggalkan isteri iaitu Puan Sri Rohani Abdullah dan empat orang anak.
Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara selama enam tahun mulai dari 2012 juga pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PPA1M), ahli Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CEPA) dan Pengerusi Institut Integriti Malaysia.
Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek menyifatkan Ali sebagai seorang mentor dan pendengar yang baik.
“Saya mengenali arwah agak lama, banyak pengalaman saya bersama beliau iaitu sejak saya memasuki kursus kadet pegawai tadbir diplomatik, beliau adalah fasilitator saya. Ia adalah kehilangan besar kepada negara,” katanya yang mewakili warga K-KOMM mengucapkan takziah kepada keluarga Ali.
“Semoga dipermudahkan segala urusan dan tabah menghadapi cabaran ini, sama-sama kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” kata Mohammad selepas merasmikan Program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ peringkat kementerian di sini hari ini.
Mengimbau pengalaman bekerja dengan Ali, Mohammad berkata beliau terharu apabila diberi kepercayaan menerajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sebagai ketua pengarah sebelum ini.
“Tan Sri (Ali) adalah seorang yang senang didekati, beliau pendengar yang baik. Beliau juga amat berjasa kepada penjawat awam dari segi urusan kebajikan, kenaikan pangkat dan juga aspek perumahan,” kata Mohammad.
Leave a Reply