BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas barangan seludup bernilai lebih RM200,00 di Pasar Besar Tasek Raja, Pasir Mas malam tadi.
Rampasan dibuat selepas pihak berkuasa menahan dua lelaki yang bertindak sebagai pemandu serta kelindan lori mendakwa menerima upah sebanyak RM1,800 untuk membawa pelbagai barangan berkenaan termasuk pakaian, selipar dan beg dari pangkalan haram Sungai Golok ke bandar Kota Bharu.
Menurut Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, suspek berusia 29 dan 35 tahun itu ditahan ketika membawa kesemua barangan seludup itu di lokasi tersebut pada pukul 7.30 malam tadi.
Menurut beliau, ketika anggota membuat rondaan, mereka terserempak sebuah lori dipandu suspek yang dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahanya untuk tujuan pemeriksaan.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam lori menemui 3,181 pakaian pelbagai jenama, 250 pasang selipar dan tujuh beg disyaki dibawa masuk ke dalam negara melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang.
“Kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah untuk kebenaran membawa barangan berkenaan, jadi anggota menahan mereka dan merampas lori serta barangan untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi tujuan laporan.
“Kesemua baju, selipar dan beg yang dirampas kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut di bawah Akta Cap Dagang 2019,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut Azahari, penyeludup menggunakan modus operandi dengan membawa masuk barangan terbabit menggunakan perahu melalui jalan sungai dan ditempatkan di lokasi transit, sebelum dibawa menggunakan lori pada waktu malam ketika semua sedang bersedia berbuka puasa.
Leave a Reply