KERAJAAN perlu memperhalusi pelbagai aspek sebelum membuat keputusan sama ada mahu menamatkan perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Dan Kestabilan Politik dengan pembangkang atau sebaliknya.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuk berkaitan isu perlaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang melibatkan masa depan negara.
Beliau bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya keputusan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ini kerana ujarnya, ia melibatkan pentadbiran kerajaan Persekutuan yang masih berada di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya beritahu bahawa dalam pertemuan saya bersama pimpinan Perikatan Nasional dengan Perdana Menteri pada dua minggu lepas, ada bincang perkara ini.
“Pasal saya dengar pihak pembangkang minta perkara ini dilanjutkan tetapi dalam pertemuan dengan Perdana Menteri dia maklumkan setakat pertemuan yang saya adakan itu belum buat apa-apa keputusan.
“Maka saya tak fikir saya nak buat apa-apa kenyataan bagi pihak beliau, itu terserah kepada Perdana Menteri untuk meneliti wajar ke tak wajar pasal dia ada banyak kaitan dengan soal lain mengenai masa depan negara, pilihan raya dan sebagainya,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi Setiausaha Bersatu Bahagian Pagoh, Atiman Kadar di kediamannya di Kampung Sungai Alai, Panchor, Pagoh, Muar, semalam.
Dalam pada itu menurutnya yang juga Pengerusi PN, beliau difahamkan pihak pembangkang mahu agar MoU yang sepatutnya tamat Julai ini, dilanjutkan.
Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan MoU antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini tidak akan diteruskan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan turut berkata UMNO juga menetapkan Akta Antilompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan di Parlimen.
Leave a Reply