BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak bagi membantu siasatan isu penjualan tanah bagi tapak cadangan pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar, esok.
Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berkata, sepatutnya rakaman percakapannya sebagai saksi dibuat pada 15 April lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu bagaimanapun berkata, tidak dapat hadir kerana ketika itu berada di luar Perak.
“Memang saya ada dipanggil untuk memberikan keterangan tetapi ketika itu saya ada urusan di Selayang. InsyaAllah, mungkin esok saya akan hadir ke Pejabat SPRM Perak untuk memberikan keterangan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.
Media hari ini melaporkan, bekas Exco Kerajaan Perak ketika pentadbiran PH, Datuk Asmuni Awi mengesahkan beliau sudah dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan pada 15 April lalu.
Untuk rekod, Mohammad Nizar dan Asmuni adalah bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Sebelum ini media melaporkan, seramai 13 saksi sudah dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan kes itu, namun tiada individu ditahan berkaitan penjualan tanah berkenaan setakat ini.
Isu penjualan tanah berkenaan timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Bagaimanapun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan itu.
Leave a Reply