SERAMAI 700 pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu melarikan diri dalam kejadian pada pukul 4 pagi tadi.
Kumpulan PATI berkenaan antaranya terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan etnik Rohingya dilihat keluar beramai-ramai dari depot berkenaan oleh penduduk tempatan.
Harian Metro melaporkan, semua tahanan terbabit adalah di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, namun ditempatkan di depot tahanan sementara berkenaan, sebelum urusan penghantaran pulang dibuat.
Berikutan itu, operasi menahan semula semua tahanan terpaksa dilakukan pihak JIM yang turut mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah, dan IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
Sehingga kini, dimaklumkan lebih separuh tahanan yang terlepas berjaya ditahan semula dengan operasi mengesan Pati yang masih bebas masih dilakukan pihak berkuasa.
Sidang media berkenaan kejadian dijangka akan dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, pada pagi ini.
Leave a Reply