GARA-GARA ramalannya tentang kemungkinan Pakatan Harapan (PH) kehilangan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Rafizi Ramli menerima kecaman hebat daripada pimpinan PKR di negeri itu.
Memetik laporan FMT, Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar meminta Rafizi fokus terhadap kempen pemilihan parti dan bukannya sibuk meramalkan masa depan PH di negeri tersebut.
Beliau turut kesal dengan kenyataan Rafizi itu yang seolah-olah memperkecilkan usaha yang dilakukan oleh pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Yang duduk di dalam Kabinet kerajaan negeri… kami yang diamanahkan, kami tahulah, kami yang berusaha keras untuk memastikan kerajaan negeri kekal untuk PRU akan datang. Kami yang faham.
“Saya harap Rafizi tumpukanlah kempen dia untuk bertanding timbalan presiden (PKR)… tentang kerajaan negeri, itu tanggungjawab kami yang menjaganya,” katanya kepada FMT.
Berucap di hadapan ahli PKR sempena kempen pemilihan parti 2022 semalam, Rafizi berkata sekiranya kepimpinan PKR tidak bertindak terhadap isyarat daripada Johor dan tiga lagi PRN – Sabah, Melaka dan Sarawak – kemungkinan besar parti itu akan kehilangan Selangor pada PRU-15.
Rafizi turut memberi amaran kepada pemimpin PH Selangor yang mempunyai jawatan supaya bersedia untuk hilang kedudukan itu dalam tempoh tiga atau empat bulan dari sekarang.
Berhubung pendekatan khemah besar, Halimey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia berkata, Rafizi tidak berhak untuk menentukan keputusan yang perlu dibuat oleh kepimpinan tertinggi PH.
“Kita atas arahan presiden (Anwar), presiden bersama pimpinan PH yang buat keputusan untuk adakan khemah besar atau tak, bukan Rafizi yang buat keputusan. Kalau Rafizi menang (timbalan presiden) sekali pun, bukan kuasa dia nak tentukan khemah besar atau khemah kecil, presiden PKR yang tentukan,” tegasnya.
Pada pemilihan PKR 2022/2025 Mei ini, Rafizi berdepan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk merebut jawatan nombor dua parti itu.
Ramai pemimpin dan ahli PKR yang mempersoalkan kemunculan semula Rafizi yang secara tiba-tiba setelah sekian lama menghilangkan diri selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang lalu.
Rafizi juga mencetuskan polemik apabila menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRU-15 dan pemerhati politik menjangka beliau akan kembali ke kerusi Parlimen Pandan yang kini disandang oleh isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Setakat ini, jangkaan awal mendapati Saifuddin mempunyai lebih banyak kelebihan untuk memenangi persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, berbanding Rafizi.
Leave a Reply