PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan isyarat sedia untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malauysia (Bersatu) diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi, walaupun mendapat bantahan pempinan gabungan itu yang mengatakan pendekatan ‘khemah besar’ bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang tidak boleh memasukkan parti-parti dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam sebuah laporan khas Malaysiakini hari ini, Presiden PKR itu berkata sebagai pemimpin politik, beliau tidak seharusnya berhenti dalam mengadakan rundingan dengan pihak lain.
“Kalau nak jadi pimpinan politik dan kata jangan bincang dengan sesiapa, tak betul.
“Saya kalau Perdana Menteri minta jumpa esok, saya ubah suai, saya jumpa. Walaupun dari segi politik itu permusuhan politik.
“Bukan bermakna nak berdamai, (ia) bermakna untuk menjalankan beberapa kerja dari segi soal negara, soal rakyat,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaNow hari ini.
Semalam, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata pendekatan ‘khemah besar’ PH tidak seharusnya memasukkan gabungan parti politik yang membentuk kerajaan sama ada UMNO, Bersatu atau PAS.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng ketika kongres partinya bulan lalu turut menegaskan tiada kerjasama dengan mereka yang mengkhianati perjuangan gabungan itu.
“Kalau kali pertama kita kena (tikam) belakang sekali, itu salah dia. Kalau kali kedua anda ditipu sekali lagi, itu salah anda sendiri,” katanya.
Dalam wawancara itu juga, Anwar turut bercakap mengenai ‘kesediaan untuk berbincang’.
“Kalau untuk kebajikan, saya fikir untuk jadi pemimpin yang diketengahkan di arus perdana, harus ada kesediaan untuk tidak dilihat sebagai pemimpin kelompok atau parti yang sempit.
“Tetapi (pemimpin) yang keras prinsipnya tegas, tapi ada kesediaan untuk berbincang ini dalam sunnah Rasulullah. Ini yang berlaku dan kita tak lari dari itu,” katanya.
Leave a Reply