Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN
AKIBAT kesusahan hidup, dua beradik yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Nasir Ismail, Johor Bahru terpaksa bergilir-gilir baju sekolah hingga menyebabkan seorang daripadanya tidak dapat bersekolah.
Ibu mereka, Nur Rizan Aman, 46, berkata, anak ketiganya, Muhammad Syafiq Daniel, 15, dan adiknya, Muhammad Syafiq Haziq, 14, terpaksa berkongsi baju sekolah secara bergilir setiap hari.
Menurut suri rumah itu, kesempitan hidup turut menjejaskan pelajaran anak kedua, Siti Aisyah, 19, yang kini belajar di kolej Centre Foundation Studies (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gambang, Pahang.
“Siti Aisyah kini mengikuti kelas secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit kerana tiada komputer riba.
“Selain itu dia masih menggunakan cermin mata dipakainya sejak Darjah Enam yang kini tidak lagi sesuai kerana sudah semakin rabun. Siti Aisyah juga terpaksa berkongsi cermin mata dengan Daniel dan Haziq yang turut mengalami masalah rabun,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita semasa menerima kunjungan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam yang memberikan sumbangan di rumahnya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, semalam.

Nur Razan berkata, itu antara halangan yang dihadapinya ketika ini dalam membesarkan empat anak berusia 21 hingga 14 tahun.
Disebabkan hidup miskin lima beranak itu terpaksa tinggal dalam keadaan rumah kayu yang hampir bocor di semua bahagian atap selain tidak mempunyai bekalan elektrik selepas dipotong tiga tahun lalu.
Nur Rizan yang tidak bekerja kerana mengalami sakit jantung bersama-sama anak-anaknya menumpang di rumah itu yang dimiliki nenek suaminya dalam keadaan daif sejak berpindah dari Pagoh ke Johor Bahru 12 tahun lalu.
“Setiap kali hujan kami semua akan berlindung di satu bahagian belakang rumah secara berhimpit-himpit. Bagi mendapatkan bekalan elektrik, kami menggunakan lilin selain mendapat bekalan elektrik dari rumah jiran.
“Kami sekeluarga hidup dengan sumbangan Baitulmal sebanyak RM400 sebulan di samping dibantu anak sulung, Siti Aminah Mohamad Zamri, 21, yang bekerja pengawal keselamatan di sebuah sekolah berdekatan. Selain itu jiran-jiran juga sangat bermurah hati membantu kami sekeluarga,” katanya.
Dia berkata, Siti Aminah sebelum ini tidak dapat meneruskan hasrat menyambung pelajaran kerana mengalami sakit saraf seluruh badan dan memerlukan rawatan kemoterapi, masalah itu dialaminya sejak berusia 13 tahun.
Nur Rizan sebelum ini bekerja di kedai makan di kampung itu pada sebelah siang dengan gaji hari RM40 manakala pada sebelah malam bekerja sebagai pengawal keselamatan dan memperoleh RM1,500 sebulan.
Namun disebabkan sakit jantung yang alaminya sejak lapan tahun lalu semakin teruk kerana sering sesak nafas dan kebas kaki serta tangan, dia terpaksa berhenti kerja pada Disember lalu serta mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
“Disebabkan motosikal yang satu-satunya kami ada rosak dan tidak mampu membaikinya, saya tidak lagi meneruskan rawatan selain tidak mampu. Keadaan ini membuatkan kami hidup seadanya,” katanya.
Mengenai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, Nur Rizan bersyukur kerana terdapat individu yang akan membelikan mereka pakaian pada kali ini selain akan menyambut hari lebaran seadanya.
Nur Rizan kini sedang mencuba untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk Siti Aminah yang kini dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya menghulurkan sumbangan barang keperluan harian termasuk barang basah dan perkakas elektrik semuanya bernilai RM1,000 bagi meringkanan beban mereka.
“Guru sekolah anak-anak Nur Rizan memberitahu, semua anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran tetapi disebabkan tidak mampu, Siti Aminah tidak dapat melanjutkan pelajaran, mereka amat memerlukan bantuan,” katanya.
Sumbangan untuk keluarga ini boleh dibuat menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nur Rizan Aman 0115641000127623 atau akaun Bank Muamalat milik Siti Aisyah 01010041078723 atau boleh berhubung dengan Siti Aisyah menerusi talian 010 2713929.
Leave a Reply