JABATAN Imigresen Malaysia menafikan menahan seorang ketua jurutera warga China selama lapan jam seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sebaliknya urusan untuk memberikan Pas Khas kepada lelaki tersebut tidak dapat diteruskan kerana dia gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengemukakan dokumen yang diperlukan.
Beliau berkata, lelaki tersebut juga gagal mengemukakan tiket penerbangan pulang dalam masa 30 hari dan tidak memuat naik keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen COVID-19 dalam MySejahtera.
“Pas Khas tidak dapat dikeluarkan kerana menunggu syarikat majikan lelaki tersebut membeli tiket penerbangan pulang dan keputusan saringan dimuat naik ke dalam MySejahtera,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi jabatan berkenaan.
Beliau menjelaskan bagaimanapun setelah tiket penerbangan pulang yang sah dalam tempoh 30 hari telah dikemukakan dan keputusan saringan itu dimuat naik dalam MySejahtera, pihaknya telah mengeluarkan Pas Khas dan Memo Periksa Keluar selaras dengan peraturan dan undang-undang yang diperuntukkan.
Khairul Dzaimee berkata demikian ketika mengulas laporan kenyataan pemain industri perkapalan (Maritim Network) yang menganggap tindakan jabatan berkenaan menahan ketua jurutera warga China selama tempoh lapan jam itu tidak profesional.
“Orang ramai sama ada warga asing atau warga tempatan diingatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta menyediakan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan sebelum hadir berurusan di kaunter atau mana-mana pejabat Imigresen,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply