Oh Tong Keong

Tubuh jawatankuasa perkenal dasar atasi masalah sosial belia

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan satu jawatankuasa antara jabatan-jabatan berkaitan dapat ditubuhkan untuk mengkaji cara bagi membasmi dan mengelakkan masalah sosial dalam kalangan remaja yang disifarkan semakin serius ketika ini.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, jawatankuasa itu bagi membolehkan Kerajaan Pusat memperkenalkan dasar-dasar yang sesuai untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan golongan belia terbabit.

Ujar beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, data ketika ini menunjukkan masalah sosial dalam golongan belia seperti penagihan dadah dan terlibat dengan lumba haram semakin banyak dilaporkan.

Jelas beliau, masalah sosial itu yang disifatkan seperti penyakit barah dapat memusnahkan keharmonian keluarga seterusnya menjejaskan pembangunan masa depan negara.

“Peningkatan kes penagihan dadah dan perlumbaan haram dalam golongan belia harus dilihat sebagai satu masalah sosial, bukannya isu perkauman.

“Maka, Kerajaan Pusat harus memandang serius masalah sosial ini dan kerjasama antara jabatan untuk mengatasinya harus disegerakan sebelum menjadi lebih mudarat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyeru kepada semua pihak terutamanya parti politik yang berteras Melayu supaya bersatu bagi mengatasi pelbagai masalah sosial yang melanda negara ini.

Beliau berkata, perkara kebejatan sosial yang berlaku itu harus sama-sama difikirkan dan perlu tindakan segera terutama dalam kalangan pemimpin masyarakat dan pemimpin politik.

Sehubungan itu kata beliau, 10 parti politik yang berteraskan Melayu di negara ini perlu bersatu dan menumpukan usaha memulihkan kembali sistem masyarakat di negara ini disulami dengan panduan agama serta adat.

Sementara itu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, kes masalah sosial yang melonjak tinggi itu turut menuntut setiap rakyat perlu bersatu padu dalam mengatasinya dan sama-sama menjadikan kehidupan di negara ini lebih baik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *