POLIS terpaksa melepaskan lima das tembakan ketika cuba menghentikan sebuah kereta dinaiki empat lelaki di kawasan Pasar Awam Tikam Batu, Sungai Petani hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi apabila kereta jenis Proton Wira terbabit dipandu secara berbahaya sewaktu cuba meloloskan diri daripada polis ketika diminta berhenti untuk tujuan pemeriksaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, kereta dinaiki empat lelaki itu pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota yang melakukan pemeriksaan di Jalan Permatang Merbau, Sungai Petani.
Bagaimanapun, katanya ketika diminta berhenti untuk tujuan pemeriksaan, pemandu kereta terbabit terus memecut menghala pasar awam berhampiran.
Beliau berkata, suasana di pasar terbabit agak sibuk ketika itu dan suspek terpaksa berhenti akibat kesesakan jalan.
“Ketika itu anggota polis cuba menghampiri dan merampas kunci kereta, namun berlaku pergelutan. Pergelutan menyebabkan seorang anggota polis mengalami luka di siku,” katanya lapor Berita Harian.
Anuar berkata, anggota polis melepaskan lima das tembakan bagi menghalang suspek daripada melarikan diri, namun mereka tetap memecut kenderaan.
“Setakat ini, kita masih mengesan semua suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam keadaan kelam kabut untuk meloloskan diri itu, suspek turut merempuh beberapa kenderaan awam di kawasan terbabit.
Leave a Reply