PEGAWAI polis yang dikagumi ramai, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faizal dilaporkan akan kembali kepada pasukan selepas empat bulan berkhidmat sebagai pegawai pengiring Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (JSJ) itu memberitahu telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan sebaik mendapat restu telah memohon secara rasmi pertukaran secara dalam talian.
Memberitahu portal The Vibes, Nik Ezanee berkata beliau berasa dirinya ‘milik pasukan (PDRM) dan anggota-anggotanya’.
“Mereka memerlukan kepemimpinan dan saya mahu bersama mereka (pasukan dan anggota,” katanya.
Bercerita pertemuannya bersama Perdana Menteri awal bulan ini, Nik Ezanee berkata, Perdana Menteri sangat memahami situasi dirinya.
“Saya bercakap dengan Perdana Menteri pada 2 April dan memberitahu kemahiran dan bakat yang ada lebih baik digunakan di lapangan sebab itu yang saya boleh lakukan dengan baik.
“Perdana Menteri sangat memahami dan memberitahu tidak ada masalah terhadap permintaan saya. Jadi pada hari sama saya membuat permohonan pertukaran secara dalam talian,” katanya.
Nik Ezanee merupakan sebahagian daripada lima pegawai kanan PDRM yang terbabit dalam pertukaran pada Disember tahun lalu.
Sebelum dilantik ke jawatan Ketua JSJ Selangor, Nik Ezanee merupakan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.
Selain etika, karisma dan sikap profesional dalam tugas, Nik Ezanee turut dikagumi dari sisi kemanusiaan, kemasyarakatan dan penampilan segaknya.
Antara peristiwa yang diingati dan menyebabkan ramai sebak apabila Nik Ezanee membantu ibu tiga anak yang didapati mencuri di sebuah pasar raya.
Disebalik menghukum, Nik Ezanee memilih jalan luar biasa apabila melihat kes tersebut daripada sisi lebih besar dengan bukan sahaja mengklasifikasikan kes tersebut sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ tetapi mengurus bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk ibu berkenaan.
Ketika diumumkan pelantikan sebagai pengiring PM, ramai meluahkan kekecewaan dalam media sosial kerana mereka yakin pegawai dengan kualiti dan profesionalisme Nik Ezanee diperlukan dalam pasukan dan masyarakat.
Leave a Reply