LEMBAGA Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menggesa longgokan kayu di sekitar Tasik Kenyir yang hanyut akibat banjir luar jangka pada Februari lalu dikeluarkan segera dari kawasan pelancongan popular itu.
Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, walaupun sisa kayu itu telah diikat, namun pihaknya bimbang jika berlaku insiden kepala air, sekali gus akan menyebabkan ikatan tersebut terurai.
“Situasi ini pastinya membahayakan pengunjung yang bertandang ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.
“Kita masih menunggu Pejabat Perhutanan untuk kita keluarkan kerana ada prosedur operasi standard (SOP) tersendiri, jadi kita keluarkan apabila Pejabat Perhutanan beri kebenaran,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.
Katanya, longgokan kayu berkenaan perlu dikeluarkan segera kerana ikatannya tidak terlalu kuat dan dijangka berlaku kepala air yang agak ganas, maka akan tercabut balik dan berbahaya kepada pelancong.
Menurutnya, Ketengah telah melakukan kerja-kerja pembersihan kayu hanyut itu dengan mengikatnya di sepanjang 5 kilometer (km) laluan dari Sungai Petang hingga ke Santuari Kelah.
Justeru, pihaknya memohon Pejabat Perhutanan memberi keputusan segera untuk mengelakkan risiko dan insiden yang tidak diingini berlaku.
Bencana banjir yang melanda akhir Februari lalu menyaksikan daerah Hulu Terengganu paling teruk terjejas.
Hujan lebat mencecah 1,000 milimeter dan gelinciran tanah menjadi punca berlakunya banjir puing di kawasan Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Tasik Kenyir.
Leave a Reply