Ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar

SEORANG ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya hangus dalam kebakaran di Chiku 2, Gua Musang, pukul 8 malam tadi.

Semasa kejadian, Rahani Abdul Aziz, 58, bersama anak perempuan dan seorang cucu lelaki dalam perjalanan ke surau di Chiku 3, untuk menunaikan solat tarawih.

Dia kemudian menerima panggilan daripada jiran mengatakan rumahnya terbakar.

“Saya bergegas pulang dan hanya mampu melihat rumah terbakar tanpa sempat menyelamatkan barang berharga.

“Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, namun saya reda, mungkin ada hikmahnya. Semua harta benda dan barang dalam rumah hangus terbakar, kami tinggal sehelai sepinggang.

“Rumah ini sudah 30 tahun saya duduki, banyak kenangan bersama anak-anak dan arwah suami, namun semuanya sudah takdir,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini, lapor Harian Metro.

Rahani berkata, akibat kebakaran itu, dia dan anak bongsu kini terpaksa menumpang di rumah anaknya yang lain di Chiku 3 dan berharap ada pihak yang tampil membantu.

“Secara jujurnya saya cukup bersemangat untuk meraikan Aidilfitri tidak lama lagi bersama sembilan anak memandangkan sudah lama tidak dapat berkumpul ketika Aidilfitri.

“Namun, semua perancangan musnah sebagaimana musnah rumah kami itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya tiba di lokasi pada pukul 8.20 malam dan mendapati sebuah rumah kayu terbakar.

“Berdasarkan maklumat saksi kejadian, kebakaran berpunca daripada panahan petir bilik hadapan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tidak terdapat unsur jenayah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *