Oleh Mikail Firdaus
APABILA Nurul Izzah Anwar mengakui bahawa PH memerlukan dua PRU lagi untuk menawan Putrajaya – itulah kenyataan dan hakikat sebenar realiti politik hari ini. BN memiliki banyak kelebihan untuk memenangi PRU-15 kerana gagalnya pembangkang bekerjasama untuk memastikan formula satu lawan satu tercapai.
Menariknya, kenyataan Nurul Izzah itu dibuat hampir serentak dengan kemenangan tanpa bertanding bapanya, Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR. Pastinya, selain mahu menyedarkan pembangkang, tersembunyi maksud tersirat di sebalik kenyataan Nurul Izzah itu khususnya mengenai masa depan cita-cita politik Anwar sendiri.
Hakikat pahit ini bukannya pemimpin pembangkang lain tidak sedar – ia sudah terbukti di PRN Melaka dan Johor yang menyaksikan pembangkang kalah teruk – cuma hanya Nurul Izzah yang berani bercakap benar dan tidak hanyut dalam halusinasi utopia politik yang tidak bertunjangkan perkiraan realistik semasa politik negara.
Realitinya, jika pembangkang mahu melihat BN tumbang dalam PRU-15 tiada formula lain kecuali kerjasama. Hal ini sudah disebut banyak pihak dengan terbaru saranan penyatuan itu dibuat James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania yang mahu Bersatu dan PKR bergandingan.
Lebih-lebih lagi masa sudah tidak banyak untuk parti-parti ini bertelagah dengan mengambil kira perkembangan terbaharu keputusan Majlis Tertinggi UMNO – yang terselit perangkap di sebalik muslihat apabila menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU-15.
Sebenarnya, andai Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) dapat bergandingan dengan PKR ia bakal membentuk orde baru politik negara yang lebih segar – yang berupaya menyuntik rasa ghairah pengundi kerana ia merupakan gandingan di antara parti berteraskan bumiputera dengan sebuah parti multirasial.
Kedua-dua parti ini mempunyai kekuatan tersendiri dengan Bersatu dan PN yang muncul sebagai parti kedua meraih undi popular tertinggi dalam PRN Johor pastinya mampu menarik sokongan daripada pengundi Melayu luar bandar, manakala PKR pula ada tarikannya ke atas pengundi bandar khususnya di kerusi-kerusi marginal.
Kini, bola ada pada kaki PKR kerana pendirian Bersatu dan PN adalah jelas – iaitu perlunya kerjasama politik sesama parti pembangkang. Malah, usaha tersebut sudah pun digerakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk mengadakan pertemuan dengan Anwar.
Dalam hal ini, Bersatu, PN dan PKR harus menampilkan kebijaksanaan serta kematangan dalam membuat keputusan strategik dan bukannya terperangkap dalam sentimen kejatuhan kerajaan PH dahulu kerana dalam politik, tiada yang mustahil dan tiada musuh yang kekal.
Nada positif calon Timbalan Presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail bahawa PKR terbuka untuk bekerjasama dengan parti yang bukan daripada komponen Pakatan Harapan (PH), walaupun tidak merujuk secara khusus kepada Bersatu, perlu segala disambut agar kemudiannya dapat dijadikan jambatan yang menghubungkan kedua-dua pihak.
Mengenali Saifuddin pula, jarang dia mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Anwar. Selalunya, apa yang diluahkan itu adalah cernaaan kepada pemikiran, idealogi serta gerak-kerja yang direstui Anwar.
Kepada kedua-dua parti, carilah titik persamaan ke arah penyatuan dan kerjasama politik yang progresif kerana sebagai sebuah parti yang dinamik, baik BERSATU, PN mahupun PKR – kesemua pemimpin serta ahli parti perlu melihat ke hadapan dan bukannya digari nostalgia kekecewaan.
- Penulis adalah penganalisis politik. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Warta Rakyat.
Leave a Reply