Ismail Sabri Zahid

Zahid patut serah jawatan Pengerusi BN kepada Ismail Sabri

CADANGAN Annuar Musa supaya Ismail Sabri Yaakob dilantik Pengerusi BN selepas dinamakan sebagai calon PM bagi parti itu untuk menghadapi PRU-15 menarik untuk diperkatakan.

Semua orang tahu ketika ini, UMNO dan BN berada dalam ‘situasi struktur organisasi’ yang tidak pernah mereka alami selama ini. Jika sebelum PRU-14, Perdana Menteri adalah Pengerusi BN dan Presiden UMNO. Tetapi apabila parti hilang kuasa dalam pilihan raya tersebut, UMNO tidak lagi menjadi Perdana Menteri namun Presiden UMNO dan Pengerusi BN adalah orang yang sama.

Biarpun pada Ogos 2021, situasi berubah apabila Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri namun Dr.Ahmad Zahid Hamid kekal sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Sememangnya untuk kedudukan Presiden UMNO, ia tidak boleh ‘dipindahmilik’ memandangkan perlu melalui proses pemilihan parti, namun untuk Pengerusi BN tidak ada masalah.

Jawatan ini boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja selepas ia mendapat sokongan semua komponen BN. Oleh itu apabila Annuar mencadangkan supaya Ismail Sabri dilantik sebagai Pengerusi BN, ia bukanlah sesuatu yang janggal. Penulis percaya Ahmad Zahid yang sudah berjiwa besar menyokong Ismail Sabri sebagai calon PM, tidak akan keberatan menyerahkan jawatan Pengerusi BN itu kepada Ismail Sabri.

Tambahan pula seperti mana dikatakan oleh ramai pemimpin UMNO pemilihan Ismail Sabri tersebut menunjukkan, parti itu berada dalam tahap solidariti tertinggi, Ahmad Zahid pasti mempunyai semangat yang sama demi kepentingan UMNO dan BN. Oleh itu Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk tidak perlu lagi teragak-agal untuk menyerahkan kerusi Pengerusi BN kepada Ismail Sabri.

Ia memandangkan melalui ‘pengambilalihan’ jawatan itu ia akan memudahkan Ismail Sabri mengatur strategi bagi menghadapi PRU-15 dan beliau sekaligus akan menjadi Pengarah utama jentera pilihan raya BN, seperti mana dikatakan oleh Annuar.

Kata Annuar, sebagai calon Perdana Menteri, Ismail Sabru perlu diberi ruang seluasnya untuk mencorak pentadbiran.

“Ismail perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa ‘order baru’ politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti dan mampu memulihkan negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Annuar juga mengucapkan tahniah kepada Zahid dan barisan kepimpinan MKT atas keputusan semalam.

“Keputusan ini membolehkan Ismail menumpukan perhatian dan mengerahkan seluruh kekuatan bagi mengembalikan semula kekuatan UMNO serta memulihkan keyakinan rakyat. Saya percaya keputusan ini disambut dengan penuh kesyukuran,” katanya.

Apapun sama-sama kita tunggu langkah yang akan dilakukan oleh kepemimpinan UMNO khususnya Ahmad Zahid yang penulis percaya semakin memahami situasi politik semasa di dalam UMNO dan BN serta kekangan pada diri beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *