Oleh RIZQI ZABIDI
PEMBUKAAN Pejabat Datuk Wan Saiful Wan Jan di Taman Tunku Maheran di Jitra dekat Kubang Pasu, Kedah pastinya menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Dengan kedudukan pejabat yang terletak di lokasi cukup strategik di tepi jalan utama, dilengkapi papan tanda gergasi memaparkan wajahnya serta Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu, Wan Saiful jelas sekali mahu supaya kewujudan pejabatnya di situ disedari umum.
Maka timbul persoalan sama ada kewujudan perjabat tersebut merupakan persediaan buatnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Kubang Pasu.
Diminta mengulas mengenai perkara itu, Wan Saiful berkata, keberadaannya di satu-satu tempat tidak membawa makna yang beliau akan bertanding di lokasi tersebut.
“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, semua tempat saya pergi tetapi saya tak bertanding di sana.
“Tetapi di sini, kita tengok dululah,” katanya kepada media selepas berbuka puasa bersama para wartawan dan jurugambar di Kedah di sebuah restoran di Jitra, petang semalam.
Setakat ini pejabat itu masih belum dibuka namun papan tandanya sudah pun terpampang sejak beberapa hari lalu.
Mengulas lanjut katanya, beliau sememangnya merupakan ahli Bersatu di Bahagian Kubang Pasu dan pembukaan pejabat itu bertujuan untuk membantu pergerakan parti di bahagian berkenaan.
“Apabila saya pulang ke sini, saya ada tanggungjawab perlu dilaksanakan dan amanah itu perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.
“Soal bertanding itu, keputusan akan dibuat di peringkat parti. Jadi biarlah parti buat keputusan,” katanya.
Tambahnya, sebagai seorang yang memiliki tanggungjawab di Kubang Pasu serta peranan di peringkat nasional, beliau perlu melakukan sesuatu menjelang pilihan raya umum ke-15 nanti.
“Tanggungjawab saya ketika ini adalah untuk memastikan walau siapa pun yang menjadi calon di Kubang Pasu pada PRU-15 nanti, beliau akan menang,” katanya.
Leave a Reply