kerajaan PTPTN

Kerajaan diminta percepat kelulusan pelaburan PTPTN – Wan Saiful

KERAJAAN diminta mempercepat proses memberi kelulusan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melakukan pelaburan bagi memastikan pendepositnya mendapat pulangan dividen yang baik.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perbadanan itu yang juga agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi memerlukan keputusan pantas kerajaan berkaitan perkara itu bagi mengelakkannya terlepas tawaran menarik daripada pengurus dana.

“Cabaran yang kita hadapi iaitu birokrasi dalam kerajaan di peringkat yang lebih tinggi daripada PTPTN menyebabkan kadangkala kita terlepas tawaran pulangan yang tinggi oleh pengurus dana kita.

“Katakanlah kalau dia tawarkan kadar pulangan 4.75 peratus tetapi kalau ambil masa sampai lima atau enam bulan (untuk diluluskan), maka suasana ekonomi semasa sudah berubah, jadi komitmen 4.75 peratus itu mungkin sudah tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Kelab Media Elit Kedah di Jitra malam tadi.

Beliau berkata, sekiranya kelulusan lambat diberikan, PTPTN mungkin terpaksa menerima tawaran pulangan lebih rendah sekali gus boleh menjejaskan kadar dividen yang akan diterima pendepositnya.

Wan Saiful berkata, setiap cadangan pelaburan PTPTN yang dikemukakan kepada kerajaan telah dirangka dengan teliti termasuk mengenal pasti institusi pelaburan yang mampu mendatangkan pulangan tinggi kepada agensi itu.

Menurutnya, adalah amat penting untuk PTPTN mengambil peluang yang lebih menguntungkan bagi memastikan pendeposit mendapat pulangan yang baik dan kekal menabung dengan perbadanan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini PTPTN mencatatkan prestasi yang baik dalam memberikan pulangan dividen kepada pendeposit di bawah dua produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

“Komitmen saya adalah untuk memastikan semua pendeposit diberikan pulangan yang sewajarnya. Sebelum ini dividen kita sekitar empat peratus. Ia berkurang sedikit dalam pengumuman yang saya buat pada awal tahun ini (tiga peratus), tetapi itu adalah disebabkan oleh situasi pasaran dan keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Wan Saiful berkata, PTPTN akan terus mempromosi produk simpanannya terutama di kawasan luar bandar dan universiti bagi menggalakkan lebih ramai mendeposit di bawah SSPN dan mendapat manfaat daripadanya. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *