Ismail Sabri Yaakob Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Ismail Sabri mesti diberi keutamaan buat keputusan parti, pilih calon PRU-15

KEPUTUSAN Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) menarik perhatian ramai.

Dari satu sudut, UMNO dilihat membuat keputusan tepat apabila memilih Ahli Parlimen Bera itu. Ia membuktikan kepemimpinan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memahami situasi semasa.

Mereka faham memandangkan Ismail Sabri kini adalah Perdana Menteri jadi agak janggal, jika bila PRU-15, orang lain dicalonkan kecualilah jika UMNO sudah mengadakan pemilihan parti yang menyaksikan orang lain menjadi Presiden. Tradisinya jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya, Presiden UMNO-lah yang menduduki jawatan Perdana Menteri.Tetapi masalahnya, UMNO menangguhkan pemilihan atas alasan tidak mahu berlaku perpecahan yang boleh menjejaskan persiapan berhadapan PRU-15.  

Mungkin ini agak janggal sebab sebelum ini UMNO sentiasa mempertahankan prinsip tidak mahu mendahului Seri Paduka dalam soal seperti itu. Tetapi mungkin juga siapa tahu selepas ini satu dua nama lain akan dicalonkan.

Apapun setakat ini mereka menamakan Ismail Sabri sebagai calon tunggal, ia bermakna selepas ini Naib Presiden UMNO itu mesti diberi keutamaan dalam membuat keputusan penting parti termasuklah soal calon PRU-15. Janganlah Ismail Sabri dipinggirkan atau hanya dipanggil ‘untuk mengesahkan keputusan yang sudah dibuat.

Memang benar beliau  Perdana Menteri bertaraf Naib Presiden dalam parti tetapi berikutan keputusan MT semalam, Ismail Sabri boleh dianggap ‘panglima perang’ UMNO dalam gelanggang PRU-15. Beliau paling layak untuk mengetuai peperangan kerana kedudukan beliau untuk menyambung tugas sebagai Perdana Menteri bergantung kepada pertempuran berkenaan.

Tak kanlah Ismail Sabri terpaksa mengetuai ‘satu barisan perang’ yang beliau sendiri tidak terlibat dalam pemilihannya? Sebab itulah Ismail Sabri tidak boleh dipinggirkan atau dilihat dipinggirkan dalam apa juga tindakan dan keputusan parti. Ini kerana kesannya beliau yang akan tanggung.

Pada masa sama, pencalonan Ismail Sabri itu sudah pasti akan memudahkan ahli-ahli di akar umbi menentukan siapakah yang patut mereka pilih sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan parti nanti. Sebab kalaulah pemilihan itu diadakan selepas PRU-15 dan Ismail Sabri sudahpun menjadi Perdana Menteri, agak janggal kalau orang lain mengetuai parti.

Tidak boleh lagi menggunapakai konsep ‘parti aku jaga, kerajaan kau jaga’. Mahu tidak mahu, parti dan kerajaan harus dijaga oleh individu yang sama. Ahmad Zahid sudah pasti memahami situasi ini sebab itulah beliau berjiwa besar sedia bersama MT UMNO memilih Ismail Sabri. Lagipun dengan kes mahkamah beliau yang berlanjutan sehingga Novemer, sudah tentu Ahmad Zahid tidak ada banyak masa untuk memberi tumpuan kepada persiapan parti menghadapi PRU-15.

Sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri paling sesuai memainkan peranan penting untuk menentukan strategi parti bagi menghadapi PRU-15 dengan dibantu oleh Mohamad Hasan. 

Kesimpulannya, MT UMNO membuat keputusan tepat menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri. Ia juga bermakna selepas ini sudah tidak lagi berbangkit persoalan berhubung perkara itu…biarpun mungkin ada individu yang masih merasakan beliau paling layak menduduki jawatan berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *