DATUK Seri Abdul Hadi Awang hari ini melontarkan kemungkinan UMNO bertindak terburu-buru apabila menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sambil mengingatkan parti itu apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.
“Kita serah pada rakyat. Pilihan raya tak lagi, rakyat menentukan keputusan pilihan raya siapa dia PM, parti mana (menang). Tak perlu gopoh, nanti jadi macam Johor. Calonkan orang lain, naik orang lain. Order barang lain, sampai hok lain,” Presiden PAS itu memberitahu pemberita di Marang, lapor FMT.
Pada PRN Johor, UMNO menampilkan Datuk Hasni Mohammad kepada pengundi sebagai calon menteri besar, namun Istana Johor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Onn Hafiz Ghazi, untuk mengisi jawatan itu, sekali gus menindakkan pilihan UMNO-Barisan Nasional.
Kenyataan Hadi itu dikeluarkan beberapa jam setelah Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan, berkata parti itu menyambut baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO mencalonkan Ismail sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15.
Hadi berkata, Pas sendiri tidak mempunyai sebarang calon PM kerana mahukan rakyat yang menentukannya.
“Tak Ada. Yang akan tentukan nanti adalah rakyat, jangan kita pandai-pandai (ambil peranan) rakyat,” kata Hadi.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan bahawa Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri, yang juga salah seorang naib presiden parti itu, sebagai calon perdana menteri pada PRU15.
Leave a Reply