JABATAN Perikanan menahan 11 vesel penangkapan ikan tempatan dengan anggaran keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM3.5 juta dalam tempoh empat hari operasi di perairan Perak dan Pulau Pinang.
Operasi yang dijalankan melalui Program Pemantauan dan Pengawasan Vesel Penangkapan Ikan Zon Utara Tengah Siri 1 itu bermula pada 11 April dan berakhir semalam.
Pengarah Bahagian Perlindungan Sumber Bakri Miswan berkata tujuh vesel pukat tunda dan empat sampan tanpa lesen ditahan dalam operasi itu susulan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Beliau berkata 76 bubu naga dan 1,250 kilogram hasil laut turut dirampas manakala seramai 38 orang ditahan melibatkan 27 warga tempatan dan 11 warga asing.
“Buat masa ini, operasi baharu sahaja selesai dijalankan dan siasatan akan diteruskan mengikut kes-kes yang diperoleh.
“Secara keseluruhan, pelaksanaan program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan dalam masa sama memberi amaran kepada nelayan agar tidak melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya pada sidang media di Jeti Kompleks Perikanan Kampung Acheh di Lumut hari ini.
Bakri berkata program yang dijayakan dengan kekuatan 39 anggota itu dikoordinasikan oleh Bahagian Perlindungan Sumber Ibu Pejabat Putrajaya dengan kerjasama Pangkalan Perlindungan Sumber Kampung Acheh, Kuala Kurau dan Pulau Pinang.
Beliau berkata sebanyak empat bot Jabatan Perikanan terlibat dalam operasi berkenaan iaitu P307 dan PL91 dari Pangkalan Perlindungan Sumber Kampung Acheh, PL38 dari Pangkalan Perlindungan Sumber Kuala Kurau serta PL31 dari Pangkalan Perlindungan Sumber Pulau Pinang.
Dalam pada itu, beliau berkata program berkenaan bertujuan membanteras kegiatan pencerobohan zon penangkapan ikan oleh nelayan tempatan dan aktiviti penangkapan ikan yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.
“Program ini juga bagi mengambil tindakan ke atas aduan-aduan yang diterima daripada nelayan tempatan dan penduduk setempat,” katanya. — BERNAMA
Leave a Reply