KENAIKAN harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching pada tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianggap melampau dibidas oleh aktivis pengguna, Patrick Sindu.
Memetik laporan FMT, beliau menyifatkan harga yang dikenakan oleh syarikat-syarikat penerbangan adalah terlalu tinggi.
Sehubungan itu, Patrick merayu kepada syarikat penerbangan supaya bersimpati dengan orang ramai yang tidak dapat melakukan perjalanan selama dua tahun kerana pandemik COVID-19.
“Ini tidak adil kepada orang ramai yang ingin pulang bertemu keluarga di Sabah atau Sarawak. Syarikat penerbangan mesti mempunyai tanggungjawab sosial, terutama dalam mengambil kira kesan COVID-19.
“Pengguna masih belum pulih daripada pandemik dan oleh itu kuasa beli mereka mungkin tidak ada untuk kebanyakan perkara, apatah lagi tiket penerbangan yang terlalu mahal,” jelasnya.
Minggu lalu, Bernama melaporkan tiket pergi balik itu meningkat sebanyak 566 peratus bagi tempoh perayaan bermula 29 April hingga 8 Mei.
November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa syarikat penerbangan menyelesaikan isu harga tiket mahal ke Sabah dan Sarawak terutamanya ketika cuti akhir tahun dan musim perayaan.
Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak akan menetapkan harga siling kerana memahami keadaan syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik.
Patrick menambah, lonjakan harga itu akan menjejaskan usaha kerajaan untuk merangsang ekonomi kerana ia akan menghalang orang ramai daripada melakukan perjalanan walaupun sempadan negara dibuka semula.
Beliau menggesa supaya Putrajaya mewujudkan satu sistem untuk mengawal harga, terutamanya untuk rakyat Malaysia.
“Jika syarikat penerbangan tidak dapat menurunkan harga mereka kepada kadar yang boleh diterima, maka lebih baik untuk membuka ruang udara. Saya pasti ada syarikat penerbangan yang berminat untuk menyediakan laluan ini.” katanya,
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan bersimpati dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang ingin bertemu keluarga selepas sekian lama berjauhan namun kini berdepan ‘satu lagi halangan’.
“Anda (syarikat penerbangan) boleh menjalankan perniagaan dan menjana keuntungan, tetapi jangan bersikap kejam terhadap pengguna,” katanya.
Leave a Reply