Rindu M Nasir terubat, bakal tampil konsert raya

HAMPIR tiga tahun berada dalam era ‘huru-hara’, tiada siapa yang dapat menebak apa yang bersarang dalam hati lelaki yang satu ini. Jika sebelum ini Datuk M. Nasir sering tampil dengan persembahan berskala besar, fasa pandemik yang dilalui membuatkan terpaksa memperlahankan sedikit karier seninya.

Mengubat kerinduan sendiri dan kerinduan peminat yang mahu menyaksikan persembahannya, kini dia tampil dengan Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Dato M. Nasir yang bakal diadakan pada 27 Mei hadapan.

“Selepas penganjuran konsert solo saya pada 2019, saya akui amat rindu untuk membuat persembahan di hadapan peminat. Justeru apabila ditawarkan untuk menjayakan konsert ini, saya terus menerimanya kerana saya tahu peminat memang sudah lama menantikan saat ini.

“Sebagai penyanyi, saya sendiri sangat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan. Saya anggap persembahan ini adalah sebagai hadiah untuk peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya sejak empat dekad lalu,” ujarnya memetik laporan Satu Berita.

Jika ada yang masih ingat, penyanyi yang popular dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud ini mengadakan konsert solo pada 2019. Konsert yang diadakan ketika itu mendapat sambutan hangat daripada peminat yang sentiasa menantikan kemunculannya di atas pentas.

Kali ini, dia sudah mempersiapkan diri untuk memberikan pembaharuan dan kelainan bagi membalas keterujaan peminat yang mahu menyaksikan persembahannya.

“Untuk konsert selama satu setengah jam itu, persembahan saya bakal diiringi oleh sembilan orang pemuzik termasuk penyangi latar. Bersesuaian dengan konsep, saya juga akan menyampaikan lagu bertemakan Hari Raya termasuk lagu yang pernah hits sebelum ini.

“Dari segi persiapan, saya akan mula menjalani latihan tidak lama lagi. Lagipun kebanyakan lagu yang dipilih adalah lagu yang memang kerap saya nyanyikan dalam mana-mana persembahan.

“Walaupun konsert ini berlangsung di dalam dewan tertutup dan bukannya di pentas terbuka namun saya akan pastikan peminat bukan sahaja terhibur tetapi dapat bersama-sama menyanyi dam menari bersama saya,” tambahnya lagi.

Bakal mengadakan konsert di Dewan Merdekat, Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL), konsert ini merupakan anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bersama rakan kongsi, Roman Abdi Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd .

Sebahagian daripada jualan tiket pula akan disalurkan kepada beberapa pihak yang memerli laman sebagai salah satu inisiatif mereka untuk membantu penggiat seni yang berhadapan dengan kesukaran hidup.

Jualan meja sudah mula dibuka dan bagi peminat yang ingin turut serta, boleh mendapatkan meja dengan kapasiti lapan orang dengan harga RM3,800; RM5,800; RM7,800, RM9,800 dan RM15,000.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *